Bagi akses pengguna kurang upaya, pilih atau tandakan mana-mana teks dan klik pada butang "CAKAP" untuk mendengar ucapan tersebut .
Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Tanah
Pengenalan
Bahagian Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Tanah adalah salah satu daripada bahagian teknikal di dalam Jabatan Pertanian yang di pertanggungjawabkan untuk memberi perkhidmatan sokongan yang berkaitan dengan pengurusan tanah. Perkhidmatan yang diberi merangkumi aspek-aspek penyiasatan dan pengkelasan tanah, penyiasatan guna tanah, pengurusan kesuburan tanah, pemuliharaan tanah dan perkhidmatan analisis tanah, daun, air dan bahan pertanian serta baja. Bahagian ini juga adalah pemegang amanah (custodian) dalam maklumat siasatan tanah dan gunatanah untuk Semenanjung Malaysia.
Sehingga kini, Bahagian Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Tanah telah melalui pelbagai perubahan dari segi susunan organisasi, fungsi dan kualiti perkhidmatan. Sebagai pusat simpanan dan rujukan maklumat tanah negara, Bahagian ini telah melalui proses yang aktif dalam mengumpul maklumat-maklumat asas klasifikasi tanah dan status gunatanah negara, ciri-ciri fizikal dan kimia tanah serta aspek kesuburan tanah, kecerunan dan hakisan, agroiklim, saliran dan kesesuaian aspek aspek ini terhadap tanaman.
Selaras dengan matlamat Dasar Pertanian Negara 3 (DPN3), langkah dan pendekatan bahagian ini telah diubahsuai untuk memenuhi kehendak dan situasi semasa. Bahagian ini akan menyusun dan meningkatkan lagi pelaksanaan program Perkhidmatan Pengurusan Tanah selaras dengan kehendak dan dasar penggunaan tanah untuk pertanian terkini dan pada masa akan datang, dimana peranan Jabatan adalah tertumpu kearah peningkatan pengeluaran bahan makanan yang berkualiti dan selamat.
Objektif
Menjalankan penyiasatan tanah dan guna tanah seluruh Semenanjung Malaysia secara sistematik bagi membina pangkalan data tanah dan guna tanah negara.
Memberi khidmat nasihat teknikal pengurusan tanah dalam aspek kesuburan dan pemuliharaan tanah.
Memberi khidmat analisis makmal bagi sampel tanah, daun, baja dan air untuk tujuan pengesyoran pengurusan tanah.