Bahasa : Melayu | English | Lain-lain
Reset Setting Change font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
    T
    T
    T
    T
    T
    T
padi_field.jpg
nature-corn-agriculture-crops--1575934-1920x1080.jpg
jambu_merah.jpeg
padi.JPG
vegetable.jpg
agro_based_industries.png
 
Portal Rasmi
JABATAN PERTANIAN
KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI MALAYSIA

Soalan Lazim - Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur

SOALAN LAZIM - BAHAGIAN PADI, TANAMAN INDUSTRI DAN FLORIKULTUR

 

Apakah Benih Padi Sah?

Benih padi sah adalah kategori benih padi yang dikeluarkan di bawah Skim Pengesahan Benih Padi yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian. Ia dibiakkan daripada benih daftar mengikut syarat dan prosedur yang ditetapkan dan telah mendapat perakuan pematuhan piawaian mutu yang ditentukan. Piawaian mutu yang ditetapkan ialah aspek ketulenan jenis, ketulenan fizikal, tahap percambahan dan peratus kelembapan. Benih daftar pula merupakan benih padi yang dibiakkan daripada benih asas yang diperolehi daripada MARDI. Benih padi sah hanya dikeluarkan oleh pengeluar-pengeluar yang dilantik oleh kerajaan.

Dari sudut nilai penanaman, benih padi sah merupakan kategori benih yang tulen, cergas dan tidak tercemar dengan bahan asing, rumpai dan padi angin serta tidak dijangkiti oleh penyakit merbahaya. Ia merupakan kategori benih yang mempunyai potensi yang tinggi untuk tumbuh dengan baik apabila ditanam di ladang.

Apakah kepentingan menggunakan Benih Padi Sah?

Kepentingan menggunakan Benih Padi Sah adalah :
  • Dapat memastikan tumbesaran tanaman yang seragam;
  • Dapat mengelakkan pencemaran benih rumpai berbahaya dan benih padi angin yang boleh menjejaskan tumbesaran pokok padi;
  • Dapat menjauhi serangan penyakit berbahaya yang dibawa melalui benih;
  • Dapat meningkatkan hasil dengan menggunakan benih tulen daripada varieti yang terpilih;
  • Dapat meningkatkan produktiviti dan penjimatan kos operasi di peringkat ladang dengan penggunaan benih bermutu; dan
  • Dapat memperolehi kelebihan hasil seperti beras yang sedap dan bermutu.

Apakah varieti padi yang ditawarkan?

Varieti padi yang ditawarkan bagi tujuan pengeluaran benih padi sah adalah daripada jenis terpilih dan unggul dari segi prestasi pertumbuhan dan penghasilannya. Ia merupakan baka padi yang dibangunkan oleh MARDI dan telah diisytihar oleh pihak kerajaan untuk tujuan penanaman. Pada masa ini, varieti yang ditawarkan ialah MR211, MR 219, MR220 dan MR 232. Walau bagaimanapun, varieti yang ditawarkan ini akan berubah tertakluk kepada semakan yang dibuat dari masa ke semasa setelah mengambilkira keperluan pesawah dan industri.

Berapakah harga Benih Padi Sah?

Harga benih padi sah di pintu kilang adalah tertakluk kepada harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan dari masa ke semasa.

Bagaimanakah mendapatkan bekalan Benih Padi Sah?

Bekalan benih padi sah boleh diperolehi daripada pengeluar yang dilantik oleh kerajaan dan wakil-wakil pengeluar yang tersenarai. Mendapatkan serta menggunakan benih padi sah melayakkan petani memperolehi semua subsidi dan insentif yang disediakan oleh kerajaan.

Saya berminat untuk menanam semula kebun kelapa tua. Apakah jenis kelapa yang Jabatan Pertanian syorkan bagi menggantikan kelapa tua dan bagaimanakah caranya untuk saya memohon bantuan dan mendapatkan khidmat nasihat?

Pada masa ini Jabatan Pertanian mengesyorkan jenis kelapa MATAG dan kelapa pandan. Kedua-dua jenis kelapa ini mempunyai ketinggian yang sederhana berbanding kelapa tua yang ada sekarang jenis tinggi iaitu Malayan Tall.

Kelapa MATAG adalah jenis baru yang boleh memberi hasil tinggi jika dijaga dengan baik. Pokok yang matang (berusia 7 tahun) boleh memberikan hasil sehingga 22,000 biji setahun. Buahnya boleh dipetik awal sebagai kelapa muda dan boleh juga dipetik tua untuk santan dan kelapa parut.

Kelapa Pandan pula sesuai kelapa muda kerana mempunyai aroma yang harum seperti pandan. Bagi menanam semula kebun kelapa yang telah tua, Jabatan Pertanian ada melaksanakan program Penananaman Semula Kelapa yang dibuat secara berkelompok di mana bantuan untuk membiayai aktiviti membersih kawasan, membina sistem perparitan, membina pagar dan membekal input dan benih disediakan. Tuan bolehlah menghubungi Jabatan Pertanian terdekat untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Saya adalah seorang pengusaha cendawan tiram kelabu. Akhir-akhir ini saya dapati cendawan saya diserang beberapa perosak seperti bari-bari dan tikus. Apakah cara terbaik bagi mengawal perosak tersebut? Bolehkah saya gunakan racun serangga dan racun tikus?

Sebarang racun perosak tidak dibenarkan digunakan dalam penanaman cendawan kerana kelopak cendawan boleh menyerap racun dan boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna. Bagi mengelakkan serangan perosak, tuan disyorkan supaya mengikuti langkah-langkah berikut :
 
Untuk mengawal serangan serangga :
  • Pastikan rumah cendawan kalis serangga. Tutup setiap laluan angin dengan jaring dan pasang langsir plastik pada pintu;
  • Gantung pelekat kuning (yellow sticker) di dalam dan luar rumah cendawan supaya serangga-serangga yang berterbangan akan melekat dan terperangkap;
  • Bersihkan kawasan persekitaran. Jangan biarkan rumput panjang dan sampah berlonggokan; dan
  • Kawal secara manual. Asingkan beg yang terkena serangan dan musnahkan perosak.
     
Untuk mengawal serangan tikus :
  • Pastikan rumah cendawan kalis tikus dengan memasang satu (1) lapis dawai mata punai supaya tikus tidak dapat masuk ke dalam rumah cendawan;
  • Pasang perangkap tikus dengan menggunakan umpan kesukaannya seperti ikan kering. Jangan gunakan racun tikus. Keluarkan perangkap berisi tikus dari rumah cendawan dan bunuh tikus; dan
  • Bersihkan kawasan persekitaran. Jangan biarkan rumput panjang dan sampah berlonggokan.

Cendawan jenis apakah yang paling popular, yang paling tinggi permintaan dan paling banyak ditanam pada masa ini?

Jenis Cendawan Tiram Kelabu.

Bagaimanakah saya boleh mendapatkan maklumat untuk penanaman cendawan?

Sila hubungi Jabatan Pertanian yang berhampiran dengan anda. Bagi yang berdekatan dengan Putrajaya, sila hubungi Encik Mohd Nazri Bin Mohd Tamami (03-88703390) dan En. Mohd Zain Bin Saiyan (03-88703306) untuk maklumat lanjut.

Apakah bantuan yang diberikan untuk penanam cendawan oleh pihak Jabatan Pertanian?

Bantuan teknologi penanaman cendawan akan diberikan keutamaan kepada mereka yang telah menghadiri kursus-kursus penanaman cendawan anjuran Jabatan Pertanian atau lain-lain agensi. Mereka perlu menunjukkan minat yang mendalam serta mempunyai kawasan. Pembiayaan peruntukan RM20,000/peserta diperuntukkan kepada peserta yang layak. Di samping itu juga, peserta disyorkan supaya mendapatkan sumber-sumber pembiayaan lain seperti pinjaman bank, koperasi dan sebagainya. Untuk keterangan lanjut sila hubungi Jabatan Pertanian Daerah yang berdekatan.

Apakah masalah utama yang biasanya dihadapi oleh penanaman cendawan?

Pencemaran dan serangan perosak yang akan mengakibatkan beg cendawan tidak mengeluarkan hasil.

Apakah jenis baru kopi yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian dan bagaimanakah caranya untuk mendapatkan bekalan anak benih kopi tersebut?

Pada masa ini Jabatan Pertanian mengesyorkan kopi klon baru jenis Liberica yang telah dihasilkan oleh MARDI iaitu MKL5, MKL6 dan MKL7 kerana mempunyai ciri-ciri baik seperti hasil lebih tinggi, penyelenggaraan lebih mudah, kurang masalah serangan perosak dan harga pasaran yang lebih baik.

Pada masa ini, pembiakan benih-benih kopi tersebut dilakukan di Pusat Pertanian Parit Botak, Batu Pahat, Johor. Untuk mendapatkan bekalan anak benih kopi tersebut, sila hubungi Ketua Pusat berkenaan di talian : 07-429 1246 atau fax 07-429 2177.

Saya berminat untuk menternak lebah madu. Apakah syarat yang diperlukan untuk memulakan projek penternakan lebah madu?

Untuk memulakan projek penternakan lebah madu, tiga (3) syarat utama perlu ada iaitu ilmu/pengetahuan, peralatan dan kawasan yang sesuai. Jabatan Pertanian ada menyediakan kursus penternakan lebah madu bagi menyebarkan pengetahuan kepada sesiapa yang berminat di samping memberikan khidmat nasihat teknikal kepada penternak-penternak lebah madu dan juga bantuan dalam bentuk peralatan dan koloni / ratu lebah jenis Apis millifera (jenis yang diimport) untuk penternak baru.

Sesiapa yang berminat boleh menghubungi Jabatan Pertanian terdekat ataupun Pusat Apiari Nasional Parit Botak, Batu Pahat, Johor di talian 07-429 1246 ataupun ke Unit Tanaman Industri dan Pelbagai, Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur, Jabatan Pertanian Putrajaya di talian 03-8870 3189 / 3290 / 3305.

Saya berminat untuk menternak lebah madu. Apakah keperluan asas yang diperlukan untuk memulakan projek penternakan lebah madu?

Jabatan Pertanian ada menyediakan kursus penternakan Lebah Madu jenis Apis cerana (tempatan) dan Apis mellifera (import) di samping memberikan khidmat nasihat teknikal kepada usahawan-usahawan yang berminat. Bagi memulakan projek penternakan lebah madu, lima (5) kriteria utama yang diperlukan adalah minat, pengetahuan mengenai penternakan lebah madu, peralatan, kawasan yang sesuai dan sumber makanan yang mencukupi.

Bagi yang berminat untuk menternak lebah madu boleh menghubungi pegawai di Pusat Apiari Nasional Parit Botak, Johor iaitu Encik Zakbah Bin Mian di talian 07-429 1246 atau 013-788 7880.

Apakah jenis-jenis herba/rempah ratus yang berdaya maju untuk dibangunkan?

Jenis jenis herba dan rempah ratus yang berdaya maju serta mempunyai potensi pasaran yang tinggi atau pasaran kontrak ladang di bawah penyelarasan Jabatan Pertanian adalah seperti berikut :
 
  • Herba : Serai Wangi, Ulam Raja, Hempedu Bumi, Peria Katak, Pegaga Sireh, Roselle, Nilam, Tongkat Ali, Roselle, Kacip Fatimah, Jatropha (Jarak), Halia/Bara, Karas (Gaharu), Mengkudu, Moringa Oleifera (Kelor), Mas Cotek, Lidah Buaya, Dukung Anak, Safed Musly.
     
  • Rempah Ratus : Serai Makan, Cili Padi/Akar, Daun Limau Purut, Kayu Manis, Vanilla, Pandan, Lengkuas, Limau Kasturi, Lada Hitam, Limau Nipis, Kantan, Pokok Kari, Asam Gelugor, Selasih, Pala, Kesum, Daun Kunyit.


 
PEGAWAI PENGHUBUNG :
 
Nama : Cik Umi Jainab Binti Mohamad Supaih
No. Telefon : 03-8870 3278
No. Faks : 03-8888 9295
Emel : umi_jainab[at]doa[dot]gov[dot]my
Alamat : Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur
  Aras 12, No. 30, Persiaran Perdana,
  Presint 4, 62624 Putrajaya.


  •  
  • Print
  • Email this page

  •   Mygov msc iim MyGovMobile  
  •   moa Bless MyAgro SPRM  
  qrcode   phone  
Terma Syarat  Dasar Privasi Dasar Keselamatan |   Penafian Peta Laman
 
Hakcipta Terpelihara 2016 © JABATAN PERTANIAN
Sesuai dipaparkan menggunakan IE 8.0, Mozilla Firefox 3.0, Chrome 9.0 & ke atas dengan menggunakan resolusi 1024 x 768
 
JUMLAH PELAWAT : 1515699 KEMASKINI TERAKHIR : 23-07-2019 JUMLAH PELAWAT : 1515699 KEMASKINI TERAKHIR : 23-07-2019
 
HUBUNGI KAMI:

JABATAN PERTANIAN
Aras 7-17, Wisma Tani, No. 30 Persiaran Perdana, Persint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62624 Putrajaya Malaysia
Emel: pro[at]doa[dot]gov[dot]my